بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Pada tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan
mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj
berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari
Mekkah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj
ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah ﷺ
bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua
fasa:
- Israk yakni perjalanan Nabi Muhammad ﷺ menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
- Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammadﷺ ini telah diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالى di dalam Al-Quran:
Firman Allah سبحانه وتعالى:سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).
.
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah ﷺ hanya berlangsung pada
satu malam. Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum
menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya
berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ﷺ sedar. Ia berlaku
pada jasad atau tubuh dan roh Nabi Muhammadﷺ bukannya roh sahaja.
Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah سبحانه وتعالى menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan”
yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan
hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi
batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.
Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan”
yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi
yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia
telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammadﷺ dalam keadaan tubuh
dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang
tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan
berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau
pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah
dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada
peristiwa ini.
Setelah Rasulullah ﷺ menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada
masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan
mendustakan Baginda ﷺ. Fitnah terhadap Baginda ﷺ bertambah kuat malah
ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah
pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan Baginda
ﷺ, maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi
Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai
tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ lalu beliau
dengan tegas menyatakan :
“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah ﷺ. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu
Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar
as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan
pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun
kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh
para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya
melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke
dalam jiwa masyarakat Islam.
.
.
A. Sebelum Israk dan Mikraj
.
Sebelum melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammadﷺ mengalami
pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati
Baginda ﷺ dicuci dengan air zam-zam serta dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu
tempat syaitan membisikkan was²nya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu
dan iman ke dalam dada Rasulullah ﷺ. Setelah itu, dada Baginda ﷺ dijahit
dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.
Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq” untuk ditunggangi oleh Rasulullah ﷺ dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
.
.
B. Semasa Israk
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
.
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad ﷺdiiringi (ditemani) oleh
malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat² tertentu (tempat² yang
mulia dan bersejarah), Rasulullah ﷺ telah diarah oleh Jibrail supaya
berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.
Di antara tempat² berkenaan adalah:
- Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah ﷺ akan melakukan hijrah.
- Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى;
- Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);
.
.
Peristiwa Ajaib
.
Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad ﷺ menghadapi gangguan jin ‘Afrit
dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa² simbolik yang amat
ajaib.
Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
.
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah ﷺ dibertahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah ﷺ diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak²nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah سبحانه وتعالى (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah ﷺ: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba`.”
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ﷺ tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah ﷺ memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ berhenti. Rasulullah ﷺtidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah ﷺ untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ turun dari Buraq. Kemudian
masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala
anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Nabi Muhammad ﷺ terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi
arak dan susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail:
“Baginda ﷺ membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”
.
.
C. Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah سبحانه وتعالى):
.
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad h ﷺ
dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit
dunia (pintu Hafzhah).
.
- Di Tangga Pertama:
Nabi Muhammad ﷺ dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa
dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang² yang makan riba` dan
harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan
mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu
penzina perempuan.
.
- Di Tangga Kedua:
Nabi Muhammad ﷺ. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
.
- Di Tangga Ketiga:
Naik langit ketiga. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
.
- Di Tangga Keempat:
Naik tangga langit keempat. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Idris A.S.
.
- Di Tangga Kelima:
Naik tangga langit kelima. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
.
- Di Tangga Keenam:
Naik tangga langit keenam. Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Nabi².
Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ mengangkat kepala (disuruh
oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
.
- Di Tangga Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan
Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi
oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah ﷺ.
Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumapa dengan Allah سبحانه وتعالى
pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka
berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:
“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”
Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan
salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya,
tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”
Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”
Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah ﷺ dan
Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini
betul² di atas Baitullah di Mekah).
.
- Di Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺ menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok
itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai
madu lebah. Buah, daun², batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata² yang indah. Unggas² emas berterbangan. Semua
keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ﷺ dapat menyaksikan juga
sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk
ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
.
- Di Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah
ﷺmasuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat
melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di
dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada
masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
.
10. Di Tangga Kesepuluh:
Rasulullah ﷺ sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu
dapat menyaksikan Allah سبحانه وتعالى dengan mata kepalanya, lantas
sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah سبحانه وتعالى dan
Muhammad, Rasul-Nya:
Allah سبحانه وتعالى: “Ya Muhammad!”
Nabi Muhammad ﷺ: “Labbaika.”
Allah سبحانه وتعالى: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”
Nabi Muhammad ﷺ : “Wahai Tuhanku! Dikau
telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang
besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang
besar dan dapat melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada
Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan
Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa
Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta,
orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya
daripada syaitan.”
Allah سبحانه وتعالى: “Aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran
kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku
kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah
al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan
habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan
nahi munkar. Aku kurniakanmu panji² Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua
yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu
lima puluh (waktu) solat.”
.
.
D. Selesai Munajat
.
Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ di bawa menemui Nabi Ibrahim A.
S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah ﷺ
merayu kepada Allah سبحانه وتعالى agar diberi keringanan, mengurangkan
jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه وتعالى perkenan
memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
.
.
E. Selepas Mikraj
.
Nabi Muhammad ﷺ turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke
Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa
peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan
Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku
pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)
.
.
Penutup
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih
penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut
bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.
Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh
yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah سبحانه وتعالى dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati
benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga
adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan
peristiwa tersebut). Orang² kafir di zaman Nabi ﷺ langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sebaik Baginda
bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang
membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه
وتعالى telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada
Baginda ﷺ.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١
“Maha Suci Allah yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke
Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami
perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

No comments:
Post a Comment